Monday, September 28, 2009

Stimulasi otak kanak-kanak


Rangsangan perlu dilakukan sejak dalam kandungan dengan pemilihan makanan yang diambil ibu

OTAK adalah organ pertama yang terbina ketika dalam kandungan. Apabila lahir, otak bayi mengandungi sel otak yang berbilion jumlahnya. Ia sentiasa bekerja dan belajar perkara baru. Proses sepanjang hayat ini dipengaruhi faktor luaran dan dalaman.

Walaupun kanak-kanak lahir dengan jumlah sel otak yang banyak, namun banyak juga yang ‘hilang’ selepas dilahirkan. Apabila otak mempelajari sesuatu, sel otak berhubung dan menyimpan maklumat. Dalam tempoh yang lama, sel yang kosong akan terhapus bagi membenarkan sel yang menyimpan maklumat berkembang.

Pembentukan penting dalam otak bayi yang sedang membesar bukan saja bergantung kepada faktor genetik tetapi juga pengalaman yang dilaluinya.

Oleh itu, stimulasi otak kanak-kanak perlu dibuat sebanyak mungkin. Misalnya membina kemahiran berbahasa membabitkan membaca dan bercakap dengan kanak-kanak. Stimulasi itu sebenarnya sejak dalam kandungan, bermula dengan pemilihan makanan yang diambil ibu. Nutrisi yang ibu ambil ketika hamil memberi perbezaan besar dalam pembangunan otak. Oleh sebab itu wanita hamil memerlukan makanan berkhasiat.

Kemudian, aktiviti stimulasi itu berubah mengikut tahap perkembangannya. Sebagai contoh, selepas dilahirkan, anda bercakap dengannya walaupun ketika itu bayi tidak boleh membalas kata-kata anda, tetapi otaknya sudah membuat hubungan penting yang mengaitkan perkataan dengan makna.

Beri perhatian padanya, jangan biarkan bayi tertekan. Misalnya tercari-cari anda yang membuatkan bayi tertekan dan menangis. Tekanan hanya akan melambatkan pembangunan otak bayi.

Luangkan masa untuk bercakap dengannya walaupun ketika itu bayi masih belum pandai berkata-kata. Buat bayi ketawa, tersenyum dan bercakap dalam pelbagai nada. Lakukan aktiviti bersama.

Bacakan bayi buku dengan kuat dan dalam pelbagai nada. Mendengar ibu bapa membaca membantu pembentukan bahasanya. Membaca juga menanam minatnya pada buku.

Begitu juga dengan sentuhan. Sentuhan pada bayi, memberi keselesaan padanya dan menghasilkan persekitaran positif untuk otak mempelajari perkara baru secara berterusan. Apabila anak semakin membesar, deria semakin terbentuk dan dia lebih peka dengan persekitarannya. Dia akan mula mahu bermain dengan objek atau berinteraksi dengan orang lain. Penyelidikan mendapati tahap daya intelek kanak-kanak dipengaruhi jumlah interaksinya dengan ibu bapa.

Pada usia enam bulan ke atas, anak patut diberi peluang meningkatkan kemahiran koordinasinya. Apabila dia merangkak dan cuba berjalan, ia bukan saja membantu anak belajar koordinasi pergerakan kakinya malah menguatkannya. Pada peringkat ini, anda boleh memperbaiki kemahiran kognitif anak dengan memperkenalkan objek di hadapannya dan bercakap mengenainya.

Berbual mengenai pengalaman lepas juga membantu membentuk memori. Lebih banyak pendedahan, lebih banyak pengalaman dipelajari. Misalnya membawa dia ke zoo dan taman permainan atau menghabiskan masa melukis, mewarna atau membuat kraf tangan.

Bagaimanapun, stimulasi yang diberi tidak semestinya membuatkan anak anda menjadi bijak tetapi membantunya mempelajari banyak perkara baru dalam hidupnya.

Selain stimulasi yang baik, sebenarnya otak juga terjejas pada stimulasi negatif. Menyaksikan ibu bapa bertengkar, ibu dipukul atau ditengking, drama bersiri atau filem yang penuh cerita pembunuhan atau peperangan malah permainan video yang ganas dan lucah juga memberi kesan pada otak.

Dr Arlne F Harder menerusi Children Affirmation Program menjelaskan, semua yang negatif itu mencipta tekanan yang menyebabkan hormon steroid (cortisol) menekan sistem imun dan melambatkan pertumbuhan fizikal.

Penghasilan cartisol dikaitkan dengan tekanan yang menukar aktiviti otak dan strukturnya. Bahagian yang paling terjejas adalah struktur otak hippocampus dan prefrontal cortex yang berfungsi pada keupayaan mengingati dan belajar selain keupayaan kanak-kanak untuk menterjemah secara tepat dan bertindak balas pada situasi sosialnya.

Justeru, jika anda inginkan otak yang sihat untuk anak, minimumkan pendedahan unsur negatif pada anak. Bertengkar dan saling menengking di hadapan anak-anak akan mencipta pemahaman negatif kepada mereka.

Tiada ubat untuk sembuhkan disleksia


Hanya sokongan, usaha gigih dapat bantu anak dari segi pembelajaran

APABILA anak anda masih gagal menulis namanya sendiri walaupun sudah berusia tujuh tahun, jangan cepat mengatakan dia bodoh atau lembam. Pernahkah anda terfikir bahawa anak anda mungkin berhadapan dengan masalah disleksia?

Apatah lagi jika dia sukar memahami, mengingati atau mematuhi arahan dan tidak faham konsep masa seperti semalam, hari ini atau esok.

Disleksia adalah masalah kurang kemampuan dari segi pembelajaran menyebabkan mereka bermasalah untuk membaca, mengeja dan memahami. Ia bukan masalah intelektual kerana dari segi IQ mereka bijak tetapi ketidakupayaan membezakan huruf, nombor, menterjemahkan bunyi dan visual dalam penulisan menyebabkan mereka gagal untuk belajar.

Disleksia sebenarnya berpunca daripada perbezaan otak memproses bahasa penulisan dengan bahasa pertuturan. Dipercayai sistem neurologi yang tidak berfungsi dengan betul menyebabkan gangguan pada struktur otak.

Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata disleksia adalah disebabkan perbezaan otak memproses tulisan dan pertuturan.

Beliau berkata, tiada statistik mengenai disleksia di Malaysia namun dianggarkan antara empat hingga lapan peratus kanak-kanak pada usia persekolahan berhadapan dengan disleksia manakala kanak-kanak lelaki lebih cenderung berhadapan dengan masalah itu berbanding kanak-kanak perempuan.

"Kanak-kanak disleksia bukan kanak-kanak lembam atau bodoh, mereka cuma kurang kemampuan dari segi pembelajaran. Namun, itu tidak bermakna mereka akan gagal dalam hidup. Mereka masih boleh belajar dan diajar dengan formula tertentu," katanya.

Bagi membela nasib kanak-kanak disleksia, Persatuan Disleksia Malaysia memiliki tiga pusat pembelajaran khas untuk golongan ini. Bertempat di Ampang, Subang dan Titiwangsa, pusat ini melatih kanak-kanak selama tiga bulan atau paling lama enam bulan sebelum mereka kembali semula ke alam persekolahan.

"Disleksia adalah masalah seumur hidup. Ia bukanlah masalah jika mereka diberi peluang untuk belajar. Ada kanak-kanak disleksia yang berjaya hingga ke peringkat universiti," katanya.

Dari sudut perubatan, disleksia dikaitkan dengan faktor genetik, namun tahap masalah pembelajaran bagi setiap kanak-kanak itu tidak sama. Ada penyelidik percaya komplikasi ketika hamil atau ketika melahirkan bayi menyebabkan sedikit kerosakan pada otak.

Umumnya, kanak-kanak ini berhadapan dengan kesukaran belajar membaca dan mengeja. Otak mereka juga kurang berupaya menterjemah imej yang diterima daripada mata atau bunyi yang didengar telinga kepada bahasa yang difahami apabila dituturkan.

Biasanya kanak-kanak disleksia boleh mengeja dengan betul tetapi kedudukan perkataan itu tunggang terbalik atau tertinggal huruf vokal. Misalnya perkataan tiap-tiap ditulis sebagai tipa-tipa. Apabila guru menyebut 13, kanak-kanak disleksia akan menulis 31. Jika guru meminta mereka mengeja perkataan diam mereka menulis d i y a m, kalau disebut di - am, barulah ditulis diam.

Sariah berkata, disleksia kerap dikesan pada umur persekolahan. Selalunya ibu bapa dan kanak-kanak itu sendiri kecewa kerana gagal belajar membaca dan menulis dengan baik sehingga membawa kepada masalah kemurungan dan rendah diri.

Kegagalan itu menyebabkan mereka mula bermasalah bukan saja di sekolah tetapi di rumah. Apatah lagi jika ibu bapa atau guru tidak menyedari kanak-kanak terbabit sebenarnya berhadapan dengan disleksia.

Selain itu, ada kanak-kanak disleksia yang terjejas dari segi visual, misalnya gagal menulis huruf, nombor dan simbol dalam susunan yang betul. Dari segi pendengaran, mungkin ada yang sukar membezakan huruf atau kumpulan huruf manakala ada juga yang tidak boleh memegang atau mengawal pensil di genggaman menyebabkan mereka sukar menulis dengan betul.

Disleksia boleh terjadi pada peringkat yang sangat lemah (mild), sederhana atau teruk. Namun, perlu diketahui tiada ubat untuk menyembuhkan disleksia melainkan kesabaran dalam mengajar mereka, memberi mereka sokongan dan bantuan sedaya upaya.

Ciri-ciri kanak-kanak disleksia:

Kanak-kanak pra sekolah

  • Lambat bercakap
  • Sukar membunyikan perkataan atau rima
  • Bermasalah dalam menulis nama sendiri
  • Sukar mempelajari perbezaan bentuk atau warna
  • Kurang upaya bercerita semula mengenai sesuatu kejadian


Kanak-kanak yang bersekolah
  • Gagal membuat kerja sekolah, membaca, menulis dan mengira
  • Tidak suka membaca buku atau mengelak untuk membaca dengan kuat dalam kelas
  • Cenderung menulis terbalik, misalnya 15 menjadi 51, perkataan tiap-tiap menjadi tipa-tipa
  • Kurang koordinasi misalnya sukar memakai tali kasut
  • Keliru dengan konsep masa, semalam, hari ini, esok
  • Sukar memahami, mengingati atau mematuhi arahan
  • Cenderung hilang peralatan sekolah.

Jenis disleksia:
  • Disleksia trauma - jarang ditemui dan selalunya terjadi kerana trauma pada bahagian otak yang mengawal keupayaan membaca dan menulis.
  • Disleksia permulaan - pesakit disleksia jenis ini sukar membaca, mengeja atau menulis. Diwarisi secara genetik dan lebih kerap ditemui pada kanak-kanak lelaki.
  • Disleksia sekunder - dipercayai berpunca pembentukan hormon ketika dalam kandungan.

Golongan muda boleh hidap Parkinson

Penyakit saraf tiada penawar ini bukan saja masalah warga tua, turut dialami mereka berusia awal 30-an

ANTARA penyakit yang paling dikenali di Malaysia ialah Parkinson - sejenis penyakit saraf. Sebanyak 15,000 ke 20,000 pesakit sudah disahkan menghidap Parkinson di negara ini.

Peningkatan jumlah warga emas dikatakan antara faktor peningkatan jumlah pesakit Parkinson biarpun hakikatnya, ia boleh dihidapi golongan muda, khususnya yang berusia di bawah 40 tahun, termasuk 30 tahun.

Pada peringkat global, di United Kingdom misalnya, seorang daripada setiap 500 orang atau 120,000 individu menderita Parkinson, manakala 10,000 orang didiagnos setiap tahun dengan Parkinson. Di Amerika Syarikat pula, 60,000 kes baru dikesan setiap tahun menambah jumlah sedia ada kepada 1.5 juta orang. Jika dicampurkan dengan jumlah pesakit lain di merata pelosok dunia, mereka yang didiagnos dengan Parkinson ialah 6.3 juta orang.

Pakar Runding Neurologi, Dr Chew Nee Kong, berkata memahami secara perubatan, Parkinson ialah gangguan neurodegeneratif (kemerosotan saraf) yang berlaku secara berperingkat.

Ia menyebabkan pesakit mengalami gejala gangguan motor seperti terketar-ketar, pergerakan luar kawalan, kekakuan dan kelemahan otot yang lama-kelamaan bertambah teruk.

“Ramai orang mengandaikan bahawa otot yang kaku atau kekurangan daya pergerakan sebahagian daripada proses meniti hari tua, pada hal semua ini simptom Parkinson,” katanya.

Walaupun tiada ujian khusus yang dapat mengesahkan penyakit ini, doktor ialah orang yang paling layak untuk menilai keadaan individu dan mengesahkan penyakit berasaskan gejala yang diketahui, agar rawatan boleh dimulakan.

“Lebih awal diagnosis dibuat, lebih cepat rawatan boleh dimulakan dan pesakit akan lebih berdikari, yakin dan mudah bergerak,” jelasnya.

Rawatan awal sangat penting kerana Parkinson sehingga kini tiada penawar. Rawatan semasa yang diberi hanya bertujuan untuk mengawal gejala agar pesakit boleh meneruskan hidup sebaik mungkin.

Dr Chew berkata, walaupun Parkinson kerap kali dikaitkan dengan golongan berusia, sebenarnya generasi muda pada usia 30 tahun juga boleh terjejas dengan Parkinson. Malah, penyelidik mendapati antara lima hingga 10 peratus pesakit didiagnos dengan Parkinson pada usia bawah 40 tahun. Antara pesakit yang menghidap Parkinson pada usia muda ialah pelakon popular, Michael J Fox.

Beliau berkata, secara umumnya, pesakit Parkinson dikenali melalui pergerakan tidak terkawal dan terketar-ketar namun Parkinson tidak hanya dikenali melalui simptom membabitkan motor.

Ada juga yang mengalami simptom lain, misalnya tulisan tangannya menjadi bertambah kecil daripada biasa, keabnormalan kognitif, sukar menelan, sukar bercakap atau jika bercakap pun dalam satu nada.

“Parkinson tidak membawa kematian. Namun, pesakit perlu menjaga kesihatan mereka sebaiknya. Bagi sebahagian kecil pesakit, mereka turut mengalami gangguan pernafasan dan mungkin menyebabkan masalah pneumonia,” katanya.

Gejala membabitkan motor

  • Terketar-ketar - selalunya bermula pada sebelah tangan. Ia simptom yang pertama dialami 70 peratus pesakit Parkinson.
  • Pergerakan yang perlahan (bradykinesia) - mereka sukar memulakan pergerakan
  • Kaku atau otot yang kaku - misalnya sukar bangun selepas duduk di kerusi.


Gejala lain:
  • Lemah pada otot muka dan tekak
  • Sukar berjalan
  • Sukar mengimbang
  • Kejang otot dan sendi
  • Masalah pencernaan dan membuang air kecil
  • Kaku
  • Masalah dengan fungsi tubuh misalnya lebih banyak berpeluh dan tekanan darah rendah.


Rawatan

Walaupun Parkinson tiada penawar setakat ini, dunia perubatan menawarkan pelbagai jenis ubat dan kaedah bukan perubatan bagi menangani simptom.

Antaranya, ada beberapa jenis ubat yang boleh digunakan dalam pengurusan Parkinson. Sebahagiannya digunakan secara gabungan beberapa jenis ubat kerana tidak semua pesakit mengalami simptom sama.

Antaranya terapi gantian dopamin - yang bertindak menghasilkan bahan kimia dalam otak - dopamin. Ia terapi yang digunakan bagi mengawal simptom Parkinson membabitkan motor. Jumlah dos yang perlu diambil akan meningkat dari semasa ke semasa kerana sifat progresif Parkinson.

Selain itu, pesakit juga mungkin mengambil ubat-ubatan lain misalnya Dopamine Agonists (ia bertindak hampir sama dengan terapi gantian dopamin) dan COMT-inhibitors (terapi yang digunakan bersama terapi gantian dopamin bagi meningkatkan tahap dopamin).

Kadang kala pembedahan menjadi pilihan bagi menangani fungsi abnormal neuron dalam otak pesakit.

Selain itu, penjaga boleh membantu pesakit melegakan simptom dengan mengajar pesakit bersenam, melakukan terapi pertuturan, fisioterapi dan kaunseling.

Sikap pemalu kanak-kanak normal

Jika terlalu malu mereka perlu dibantu kerana masalah itu boleh ganggu pembesaran dan pembelajaran mereka

ANAK kecil yang terlalu pemalu ada kalanya merunsingkan ibu bapa. Biasanya kanak-kanak ini tidak mahu berenggang jauh dengan ibu bapa dan sukar bergaul dengan rakan sebaya.

Kanak-kanak yang pemalu memang normal, malah sikap pemalu itu boleh dikesan sejak kecil. Biasanya antara 15 hingga 20 peratus kanak-kanak bersikap sedemikian. Bagaimanapun, ia tidak akan mengganggu pembesaran dan pembelajaran mereka seandainya sikap malu itu tidak terlalu ekstrem.

Jika sikap itu mengehadkan pembelajaran, peluang dan pengalaman hingga tidak mahu ke sekolah, anda perlu membantunya. Ia kerana kanak-kanak yang terlalu malu sukar mendapat kawan, tidak banyak bercakap dan tidak didengari di kalangan rakan sebaya.

Kerap kali, kanak-kanak yang pemalu mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan situasi baru berbanding kanak-kanak lain. Namun, sebagai ibu bapa, pastikan anda membantunya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru dan berinteraksi dengan kawan-kawan baru.

Perasaan malu adalah rasa tidak selesa dan takut dalam menghadapi situasi sosial. Selalunya, kanak-kanak begini tidak bertindak balas dengan perkara baru dalam hidup mereka misalnya makanan baru, tempat atau bertemu orang baru.

Mereka hanya memerhati orang lain tetapi tidak mahu bercakap atau menyertai kumpulan kawan baru walaupun dijemput. Selalunya mereka lebih selesa ditemani ibu bapa walaupun pada usia pra sekolah. Malah, ada yang terpaksa ditemani ibu bapa hingga ke bilik darjah. Mereka tidak mahu kehadiran mereka disedari, tidak mahu menyertai sebarang aktiviti dan tidak mahu perhatian.

Tidak jelas mengapa sesetengah kanak-kanak bersikap pemalu dan sesetengah tidak, tetapi selalunya ia dikaitkan dengan sikap ibu bapa sendiri yang mungkin pemalu atau mereka sering dibuli atau dikritik. Kadang kala sikap pemalu itu disebabkan perasaan takut pada persekitaran baru, misalnya memulakan hari pertama di sekolah atau menaiki bas sekolah buat pertama kali. Selain itu, kanak-kanak itu pemalu kerana rasa rendah diri yang keterlaluan.

Ada kalanya, anak itu malu pada situasi baru dan kawan-kawan baru tetapi perlahan-lahan boleh menyertai mereka tidak lama selepas itu. Mungkin juga mereka tidak selesa dalam kumpulan yang besar tetapi selesa apabila bersama kumpulan kecil. Dia juga boleh memulakan persahabatan dengan orang lain tetapi sedikit sukar.

Di kalangan kanak-kanak, rasa malu menjadi semakin tebal pada usia antara empat hingga lima tahun dan pada usia 12 tahun. Kadang kala kanak-kanak berasakan dia berbeza daripada orang lain (misalnya kulitnya hitam berbanding kawan-kawannya berkulit putih) menjadikannya malu atau tertekan.

Rasa malu dan tertekan itu menjadikannya takut untuk mendekati orang lain, sukar memasukkan diri dalam kumpulan itu walaupun sering memerhatikan mereka.

Sesetengah kanak-kanak lahir dengan rasa malu atau terlebih sensitif. Malah, bayi pun ada rasa malu. Mungkin anda menyedarinya, terutama apabila dia kerap menyorok mukanya bila bertemu orang lain atau malu bertemu orang lain.

Bagaimanapun, sikap pemalu itu tidak bermakna mereka tidak normal. Ia tidak menjadi sebarang masalah hinggalah ia mengganggu pelajarannya. Misalnya tidak mahu ke sekolah, malu bergaul dengan rakan sebaya dan bercakap dengan guru.

Cara membantu anak yang pemalu

  • Jangan terlalu memaksa kanak-kanak untuk berdikari terlalu cepat tetapi jangan pula bersifat terlalu melindungi. Kadang kala terlalu melindungi menyebabkan anak anda kecewa, seolah-olah anda tidak percaya pada dirinya. Ia menyebabkan anak anda tidak berpeluang untuk belajar menangani rasa takut.

  • Hormat sikap anak anda yang pemalu dengan mula bercakap mengenai perasaannya dan rasa takutnya. Jangan buli atau kritik kerana sikapnya itu.

  • Jika bercadang mengadakan majlis hari jadinya, beritahu anak anda seawal mungkin dan apa yang akan terjadi pada hari berkenaan.

  • Jangan masukkan anak anda dalam pertandingan atau suasana yang berbentuk pertandingan sebaliknya masukkannya dalam aktiviti berkumpulan seperti bermain bola sepak atau apa saja yang boleh membina rasa ‘sense of belonging’ dengan rakan sepasukan dan membina jati diri.

  • Galak anak anda mencuba benda baru atau aktiviti baru, tetapi jangan paksa atau bertindak terlalu melindungi.

  • Bantu anak anda membina jati dirinya. Kanak-kanak yang pemalu selalunya mempunyai jati diri negatif dan rasa terpinggir. Anda boleh membantunya membina jati diri dengan kerap memuji dirinya dan cari keistimewaannya, misalnya anak anda pandai melukis. Selain itu, beri sokongan dan pujian. Kanak-kanak yang rasa selesa dengan dirinya perlahan-lahan boleh mengendalikan rasa malu.
  • Sindrom anak mengamuk

    'Temper tentrum' atau mudah marah dialami budak gagal berkomunikasi dengan baik

    PERNAHKAH anda menjadi perhatian di pusat beli belah gara-gara kerenah si kecil yang tiba-tiba mengamuk? Dia menangis tanpa henti, menghentak-hentak kaki sehinggakan orang yang lalu lalang tersenyum sinis pada anda.

    Salahkah kalau anda mencubitnya supaya dia diam? Atau menarik telinganya? Atau mungkin anda patut mendukungnya saja dan pulang terus ke rumah.

    Kemarahan secara tiba-tiba ini disebut ‘temper tantrum’ dan ia bukanlah kemestian pada setiap kanak-kanak. Namun, di kalangan sesetengah ibu bapa, sikap anak yang baran atau mudah marah memang memeningkan kepala. Lebih sukar lagi jika anak kecil ini tidak makan pujukan dan menangis lebih kuat apabila mereka tidak diendahkan.

    Pakar sebuah pusat perubatan Amerika Syarikat, Dr Jay Hoecker menyifatkan tantrum adalah satu proses tumbesaran yang normal. Ia juga bukan penyakit dan mulai hilang apabila usia kanak-kanak semakin meningkat.

    “Apatah lagi jika anda dan dia sudah boleh berbual dan berkongsi pendapat mengenai apa yang boleh dan tidak boleh. Sebenarnya, tantrum dilihat oleh kebanyakan pakar psikologi kanak-kanak sebagai luahan rasa kekecewaan seseorang kanak-kanak tidak kiralah sama ada ia dari sudut fizikal, mental atau emosi.


    “Kekecewaan itu ada kalanya kerana kesukaran anda sebagai ibu bapa memahami kehendaknya disebabkan penguasaan perbendaharaan kata yang sedikit,” katanya yang menulis di Mayoclinic.com.

    Tantrum dianggap normal kerana sebahagiannya berpunca daripada kegagalan anak kecil itu menguasai kemahiran asas. Misalnya, gagal membuka atau menutup butang baju. Ini disebabkan ada segelintir kanak-kanak memiliki kecenderungan untuk mudah marah berbanding kanak-kanak lain dan lazimnya faktor seperti letih, lapar atau tertekan menyebabkan mereka mengamuk.

    Apabila usianya semakin bertambah, dia akan belajar menangani emosi yang mencetus kemarahan. Dia juga selalunya sudah mampu menguasai pertuturan dengan baik serta semakin berdikari.

    Namun, dalam lingkungan usia dua hingga tiga tahun, anak kecil ini cenderung untuk mudah marah kerana kehendaknya tidak difahami. Membaling barang, menghentak-hentak kaki atau menjerit sekuat-kuat hati adalah cara meluahkan kekecewaan itu. Ada kala luahan kemarahan itu berlaku selama 20 saat atau mungkin hingga berjam-jam lamanya.

    Dr Hoecker berkata, kanak-kanak mula memperlihatkan kemarahan (tantrum) pada usia dua atau tiga tahun. Namun, ada juga kanak-kanak yang mula mempamerkan sikap tantrum pada usia yang lebih muda daripada itu. Apabila dia berusia empat atau lima tahun, dia masih mudah mudah tetapi apabila usia semakin meningkat, penguasaan bahasanya juga meningkat dan anda boleh mengajaknya berbual dan mudah bertolak ansur.

    Tantrum ialah tingkah laku untuk menarik perhatian. Justeru, satu cara untuk meminimumkan tantrum si kecil anda adalah dengan tidak mempedulikannya. Selalunya, dia akan menjerit lebih kuat dan menarik perhatian. Jadi, ambil peluang itu untuk berbincang tentang sikapnya.

    Apabila si kecil meradang, penting untuk anda bertenang dan mengawal kemarahan. Menjerit padanya atau memukul hanya akan memburukkan lagi keadaan. Selalunya, apa yang terbaik untuk anda dan si kecil yang mengamuk ialah suasana senyap tanpa anda mengalah dan tunduk padanya. Dia akan diam dengan sendiri apabila dia gagal menarik perhatian anda.

    Jadi perlukah anda menghukumnya sebagai balasan ‘mengamuk’? Logiknya tentulah tidak. Walau sebesar mana pun kemarahan anda kepadanya, cara terbaik ialah mengingatkannya sikap itu tidak betul.

    Justeru, mengelak kemarahan anak kecil itu adalah lebih baik. Mulakan dengan diri sendiri dengan memberi perhatian dan pujian padanya bagi membina keyakinan dirinya. Secara tidak langsung dia tahu anda menyayangi dan mengambil berat.

    Perhatikan juga tanda-tanda yang boleh menyebabkannya marah dan cuba alihkan perhatiannya.

    Beri sedikit kebebasan pada si kecil anda. Misalnya, jika memesan minuman tanya dia apakah air yang diinginkan, jus atau teh. Jika memintanya memberus gigi tanya padanya, hendak berus gigi sebelum atau selepas mandi?

    Beri perhatian kepada permintaannya dan jika tidak boleh ditunaikan beritahu sebabnya. Sebagai ibu bapa anda lebih memahaminya, jadi jangan bawa dia membeli belah pada waktu tidur semata-mata hendak mengejar jualan murah.

    Bagaimana jika dia tiba-tiba mengamuk walaupun anda sudah cuba sedaya upaya mengelak berlaku tantrum?

  • Jangan marah, sebaliknya cuba bertenang dan senyum.

  • Cuba fahami mengapa si kecil anda marah.

  • Alih perhatiannya.

  • Dakapnya, belai rambutnya dan tenangkan dia - mungkin kadang kala anak-anak akan terus menjerit, jadi tinggalkan dia sekejap. Jangan pedulikan dia dan lihat bagaimana reaksinya.



    Info

    Tip tangani anak mengamuk


    Tiada cara atau kaedah mengelak anak mengamuk tetapi masalah ini boleh ditangani dengan menggalakkan sikap positif kepada anak.

  • Konsisten - Adakan rutin harian yang tetap bagi memudahkan jangkaan anak seperti waktu tidur mengikut waktu ditetapkan.

  • Buat perancangan awal - Jika perlu membeli-belah barangan keperluan, lakukan seawal mungkin iaitu pada waktu pagi ketika anak tidak lapar atau keletihan. Bawa sekali bekalan snek atau permainan untuk anak jika ada kemungkinan anda perlu beratur panjang.

  • Kreatif - Galakkan anak anda bercakap. Jika dia masih belum boleh bertutur, gunakan kreativiti anda dengan mengajarnya bahasa isyarat ringkas dan mudah difahami bagi merujuk perkataan seperti 'Saya Mahu', 'Cukup', 'Sakit' dan 'Penat'. Lebih mudah komunikasi anda dan anak, lebih kurang anda berdepan masalah anak mengamuk.

  • Buat pilihan - Benarkan anak kecil membuat pilihan bagi membolehkannya berasakan dia juga boleh memilih. Ini seperti menyuruhnya memilih antara baju warna putih atau biru, jenis buah-buahan yang diingininya atau mainan pilihan.

  • Beri pujian - Pujilah anak anda jika dia berkelakuan baik seperti berkongsi mainan, patuh dan mendengar arahan.
  • Permaidani ancam bayi

    GOLONGAN bayi dan kanak-kanak berhadapan dengan risiko bahaya yang terdapat pada permaidani.

    Ia sebenarnya ada kaitan dengan asap rokok.

    Menurut Program Toksikologi Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), bayi yang merangkak terdedah kepada bahaya bahan kimia yang dihasilkan oleh asap rokok.

    Ini kerana permaidani, langsir serta fabrik mampu menyerap asap rokok dan akan dipindahkan kepada bayi apabila mereka berada dekat dengan bahan tersebut.

    Bukan itu sahaja, kanak-kanak serta bayi turut terdedah pada bahaya bahan kimia asap rokok sekiranya mereka disentuh oleh perokok.

    Bagi perokok wanita yang menyusukan bayi, bahan kimia tersebut lebih mudah dipindahkan melalui susu yang dihisap oleh bayi.

    Pil multivitamin bawa keburukan

    PENGAMBILAN pil multivitamin di kalangan jutaan penduduk dunia adalah langkah sia-sia kerana ia sebenarnya mendatangkan lebih banyak keburukan kepada kesihatan.

    Menurut bekas penasihat pemakanan kerajaan Britain, Brian Ratcliffe, sejumlah RM3.6 bilion dihabiskan dalam pengambilan multivitamin setiap tahun yang sebenarnya sihat dan tidak memerlukan pil tersebut.

    Jelasnya lagi, antara keburukan pengambilan pil tersebut seperti minyak ikan sebagai multivitamin ialah ia mampu meningkatkan fenomena tulang rapuh pada masa akan datang kerana pengambilan vitamin A secara berlebihan tanpa disedari.

    Kebanyakan pengguna mengambil pil multivitamin kerana kebimbangan tidak berasas terhadap kesihatan mereka serta dipengaruhi oleh iklan pihak farmasi.