Saturday, November 21, 2009

Rangsang minda bayi

ADA ibu bapa merungut mengenai anak mereka yang lambat bercakap, berjalan atau meniarap sedangkan mereka sendiri jarang melatih bayi untuk lebih aktif.

Proses tumbesaran bayi lazimnya melalui satu aspek normal dan bertahap.

Sebagai ibu bapa pula, pelbagai cara boleh dilakukan untuk merangsang minda si kecil atau membentuk proses perkembangannya dari segi pembentukan otot atau psikomotor.


Panduan berikut mungkin boleh dimanfaatkan mereka yang baru bergelar ibu atau bapa.

  • Mengecat atau menampal kertas dinding pada bilik bayi dengan warna terang dan pelbagai corak menarik.

  • Menggantungkan alat permainan ataupun barangan berbunyi dan bergerak pada katil tidur dan kereta sorongnya. Selok-eloknya, ia digantung pada jarak yang dapat dicapai bayi.

  • Meletakkan cermin muka di tepi katil supaya apabila bayi menoleh, dia dapat melihat wajahnya sendiri.

  • Membawa atau mendukung bayi untuk melihat sekeliling rumah sambil menunjukkan pelbagai benda yang ada di dalam dan di luar rumah. Ibu atau ayah juga boleh menyebut benda yang dilihat secara menyanyikannya.

  • Sentiasa bercakap dengan bayi dengan memperkenalkan asas bahasa.

    Nada suara perlu ditukar mengikut suasana atau aktiviti dilakukan. Percakapan dengan bayi elok dibuat ketika mandi, memberi minum, menukar lampin atau menidurkannya.

    Lebih baik apabila diberitahu setiap apa yang dilakukan kepadanya. Contohnya: "Sayang sudah basah, mari ibu salinkan lampin."

  • Memberi reaksi kepada usaha bayi untuk berkomunikasi dengan si ibu atau ayah. Ketika berkomunikasi, gunakan bahasa yang lembut dan pandang wajahnya dengan penuh kasih sayang.

  • Apabila bayi sudah dapat mengacah, lihat dan dengar dengan penuh minat. Apabila dia berhenti, si ibu boleh membalas dan ajak dia terus berkomunikasi sama ada bertanya kepadanya atau meniru bunyi yang dikeluarkannya.

  • Bermain sambil merangsang panca inderanya seperti mengusap jari kaki atau tangannya pada barang seperti ais, air suam kuku, plastik, kain bulu dan kertas.

  • Bermain dengan tangannya sambil menyentuh tangannya pada hidung, mulut, mata ataupun telinga di samping menyentuh panca inderanya sendiri.

  • Mengajar bayi mengira dengan memegang jarinya dan hitung. Sewaktu mendukungnya menaiki tangga, kira bilangan anak tangga dengan kuat.

  • Meletakkan bayi pada tempat yang membolehkan dia melihat ibu, ayah ataupun ahli keluarganya melakukan aktiviti harian seperti solat, berkebun atau memasak.

  • Merangsang deria baunya dengan menghidukannya pelbagai jenis bauan contohnya, membawa bayi mengelilingi taman bunga atau mendengar deruan ombak, angin dan bunyian haiwan.

    Bagi umat Islam, boleh memperdengarkan pelbagai jenis alunan seperti bacaan al-Quran, zikir dan suara ibu atau ayahnya membaca al-Quran.

  • Krim kecantikan jadikan wanita lebih tua



    KYOTO - Penyelidik Jepun mendapati wanita yang memakai produk kosmetik untuk antipenuaan sebenarnya mempercepatkan lagi kulit menjadi tua, lapor sebuah akhbar semalam.

    Penemuan itu hasil kajian saintis di Universiti Perubatan Kyoto Prefectural yang dibiayai oleh sebuah syarikat. Penyelidik menjelaskan, proses penuaan itu diakibatkan oleh bahan-bahan pengawet yang digunakan dalam kosmetik tersebut.

    Mereka malah mendapati secara purata wanita lazim melakukan solekan rutin dengan menggunakan sejumlah 515 bahan kimia sintetik berbeza pada tubuh mereka setiap hari.

    Kebanyakan produk di pasaran didapati berasaskan kepada bahan pembersih kediaman yang boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti alahan dan kulit sensitif.

    Ia juga menyebabkan gangguan hormon, kesuburan dan barah manakala bahan paraben seperti Methylparaben mudah menjadi toksik apabila didedah kepada sinaran matahari.

    Bahan popular ini yang digunakan sebagai pengawet dapat ditemui di dalam lebih 16,000 produk termasuk syampu, gel rambut, losyen badan, pelembap dan ubat gigi. - Agensi

    Friday, November 20, 2009

    Jangan Ambil Panadol & Panadol actifast / Soluble Lagi(Terutama Mereka Yang Ada Gastrik)

    UNTUK PENGETAHUAN, ikuti sebuah kenyataan benar dari seorang yang mengalaminya. .."Suami saya bekerja sebagai Jurutera IT di sebuah hospital, di mana pihak hospital sedang menyiapkan pengkalan data untuk pesakitnya. Dia mengenali rapat doktor tersebut. Doktor memberitahu suami saya, apabila mengalami sakit kepala, mereka sendiri tidak sanggup mengambil Panadol atau Paracetamol. .

    Sebaliknya, mereka akan mencari ubatan herba Cina atau mencari altenatif lain.

    Ini kerana Panadol adalah bertoksik kepada tubuh kita. Ia merosakkan organ hati. Menurut doktor tersebut, Panadol akan tinggal di dalam tubuh selama sekurang-kurangnya 5 tahun. Menurutnya lagi, pernah berlaku seorang pramugari menelan terlalu banyak Panadol semasa kedatangan haid kerana tugasnya perlu berdiri sepanjang masa penerbangan. Dia kini baru berumur 30-an tetapi sudah perlu menjalani rawatan buah pinggang (dialisis) setiap bulan.

    Seperti kata doktor tersebut, sakit kepala disebabkan ketidak-seimbangan elektron/ion di dalam sel otak. Sebagai rawatan alternatif, beliau mencadangkan membeli sebotol atau 2 botol minuman isotonik, campurkan dengan air minuman pada kadar 1:1 atau 1:2. Mudahnya, secawan isotonik dengan 2 cawan air minuman.

    Saya dan suami pernah mencuba kaedah ini dan mendapati ia berkesan. Kaedah lain ialah merendam kaki ke dalam besin yang mengandungi air suam. Ia akan memberi tekanan darah menurun dari kepala anda.

    Panadol adalah sejenis "painkiller" , semakin banyak anda mengambilnya, semakin lama semakin kurang kesannya kepada anda. Bererti anda perlukan dos yang lebih lagi apabila ia kurang berkesan.

    Kita semua akan jatuh sakit apabila usia kita semakin meningkat. Untuk wanita, mereka akan melalui pengalaman melahirkan zuriat. Bayangkan mereka akan diberi dos yang kuat apabila terpaksa melalui proses beranak melalui pembedahan. Jika anda terlalu banyak mengambil Panadol atau Paracetamol sepanjang hidup anda, seperti mereka yang ada migrain, ia akan memberi kesan sifar terhadap kesakitan yang anda alami dan anda memerlukan ubat yang lebih kuat lagi untuk mengurangkan rasa sakit. Adakah anda sanggup diberi dadah yang kuat seperti morfin?

    Hargailah kehidupan anda. Fikir sebelum mudah memasukkan ubat yang "biasa" ini ke dalam mulut anda.

    Tuesday, November 10, 2009

    Pantau pengambilan makanan elak penyakit

    TIDAK dinafikan tanpa nasi, ia boleh membuatkan berat badan seseorang turun tetapi ia perlu diimbangi dengan bentuk makanan termasuk sarapan yang mengandungi kalori sewajarnya.

    Begitu pandangan Ketua Perkhidmatan Pemakanan, Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Ampang Puteri, Jennifer Chiam Chwee Liam mengenai penurunan berat badan dalam kadar segera dengan mengurangkan pengambilan nasi.

    Mengenai amalan tidak makan nasi semata-mata untuk menurunkan berat badan, dia mengakui ramai yang melakukan hal sedemikian.

    Namun katanya, banyak aspek yang perlu diambil kira sama ada dari segi ketinggian, berat badan dan umur seseorang kerana diet yang betul akan memberikan impak yang lebih baik untuk kesihatan diri.

    "Saya mencadangkan seseorang yang ingin mengamalkan cara pemakanan sihat melihat piramid makanan yang sesuai buat mereka.

    "Jadikan carta piramid makanan sebagai amalan, sudah tentu ia memberi panduan yang betul dalam membentuk berat badan bersesuaian," katanya.

    Menurutnya, seseorang yang ingin berdiet boleh makan nasi tetapi hendaklah mengurangkan kuantitinya. Ia diimbangi dengan pengambilan sayur atau lauk dengan mengurangkan nasi.

    "Tidak dinafikan cara makan nasi dalam jumlah yang banyak perlu dielakkan. Namun seimbangkan ia dengan aktiviti tertentu sama ada bersukan atau sesuatu yang boleh membuatkan badan berpeluh.

    "Tenaga yang keluar dan masuk diseimbangkan mengikut cara yang betul. Semakin berusia seseorang itu, metabolisma semakin berkurangan. Oleh itu, perlu dicari formula untuk menyeimbangkannya," katanya.

    Menurutnya, nasi menghasilkan karbohidrat yang tinggi tetapi tidak salah jika mengambil oat atau roti untuk menggantikan nasi kerana tanpa karbohidrat, ia mungkin boleh melemahkan seseorang.

    "Sekiranya terlalu banyak makan telur atau protein berlebihan, ia juga tidak baik untuk kesihatan. Protein atau kolesterol yang terlalu tinggi bagi ahli bina badan memberi kesan kepada buah pinggang.

    "Tetapi apa yang terpenting, jika ingin mengurangkan berat badan tanpa makan nasi, ia harus digantikan dengan makanan yang boleh memberikan tenaga," katanya.

    Dia turut menyarankan penjagaan kesihatan yang harus bermula sejak kanak-kanak bagi mengelak masalah kanak-kanak mahupun remaja yang memiliki berat badan tidak seimbang.

    "Pendidikan kesihatan terbaik adalah ketika masih kanak-kanak. Masalah makanan segera yang senang diperoleh dan menjadi amalan seharian, harus dikurangkan.

    "Sekiranya hal itu tidak dicegah, ia memberi kesan tidak baik kepada kesihatan kanak-kanak memandangkan banyak kes obesiti berlaku di kalangan mereka kini.

    "Banyak faktor yang dibimbangi apabila badan terlalu gemuk. Ini kerana ia mengundang risiko penyakit darah tinggi, kencing manis atau angin ahmar. Jika ia menyerang di peringkat kanak-kanak atau awal remaja lagi, keadaan sudah terlambat.

    "Pemantauan harus dilakukan lebih awal kerana apabila sudah berlaku masalah, ia bukan peringkat pencegahan sebaliknya, proses rawatan yang memerlukan kos lebih banyak atau mengundang risiko lain lagi," katanya.

    Sarapan sangat penting



    Pengambilan makanan pada waktu pagi bekalkan tenaga sepanjang hari

    KANAK-KANAK yang membesar memerlukan banyak zat daripada pengambilan dietnya untuk sentiasa cergas ketika menjalankan aktiviti seharian mereka.

    Malah tabiat pemakanan yang mementingkan sarapan pagi perlu dititikberatkan ibu bapa terhadap anak selain makan tengah hari dan malam secara teratur.

    Tidak dapat dinafikan bukan mudah untuk menerap amalan bersarapan, terutama di kalangan kanak-kanak, apatah lagi jika ibu bapa sendiri tidak menunjukkan teladan baik dan sering meninggalkan sajian penting itu.

    Oleh itu, pemilihan hidangan bagi sarapan, terutama bahan yang kaya karbohidrat dapat membekalkan tenaga serta mampu menahan rasa lapar dan mengawal keinginan untuk makan di antara waktu sarapan dan makan tengah hari.

    Pakar Pemakanan, Amanda Tan, berkata ibu bapa memainkan peranan penting dan perlu menunjukkan pola pemakanan seimbang dengan berpandukan rantaian piramid makanan yang mementingkan pengambilan karbohidrat berbanding makanan berminyak.

    Menurutnya, pelbagaikan pilihan makanan anak merangkumi bijirin, sayuran serta produk tenusu supaya mereka tidak mudah jemu dengan diet diberikan.

    Menurutnya, perbezaan jumlah pengambilan kalori dalam makanan harian kanak-kanak bergantung kepada peringkat umur serta jantina mereka.

    Amanda berkata, keperluan kalori bagi kanak-kanak lelaki lebih tinggi berbanding kanak-kanak perempuan sepanjang pembesaran mereka.

    Sebagai contoh, kanak-kanak lelaki berusia tujuh hingga 10 tahun mengambil sejumlah 1,970 kalori (kcal) dalam diet makanan harian berbanding kanak-kanak perempuan seusia mereka yang hanya memerlukan 1,740 kalori saja.

    Keadaan ini berbeza disebabkan aktiviti yang dilakukan kanak-kanak lelaki kebanyakannya lebih membakar kalori berbanding kanak-kanak perempuan.

    Sementara itu, mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dianggarkan 22 juta kanak-kanak berusia kurang lima tahun mengalami masalah berat badan berlebihan.

    Di Malaysia pula, sebanyak enam peratus murid sekolah berusia enam hingga 12 tahun mengalami masalah obesiti kerana pengambilan jumlah makanan tidak terkawal.

    Ia berkemungkinan akibat faktor pemakanan kanak-kanak yang tidak dilatih dengan kaedah pemakanan sihat dan betul, sebaliknya disogok dengan makanan ringan yang tidak berkhasiat.

    Tidak dapat dinafikan makanan dan minuman ringan sangat sinonim dengan kanak-kanak sehingga ramai kanak-kanak kini mudah dihinggapi penyakit yang biasanya menyerang orang dewasa antaranya obesiti.

    Ia petanda tidak baik apatah lagi dengan usia yang masih kecil, mereka sepatutnya didedahkan dengan pemakanan berzat dan seimbang untuk membantu mencapai maksud sihat sepenuhnya.

    Tidak salah untuk makan di warung atau gerai tetapi cuba ubah menu yang diambil kepada hidangan yang kurang dari segi kandungan lemak, minyak serta gula.

    Malah ibu bapa boleh menukar menu minuman segera kepada minuman lebih menyihatkan seperti teh ais ataupun barli, manakala roti canai, laksa lemak dan nasi minyak kepada capati, sup mi dan nasi biasa.

    Hidangan berkenaan lebih menyihatkan jika dibandingkan dengan makanan lain, sekurang-kurangnya ia dapat mengawal pengambilan kalori seharian.