TIDAK dinafikan tanpa nasi, ia boleh membuatkan berat badan seseorang turun tetapi ia perlu diimbangi dengan bentuk makanan termasuk sarapan yang mengandungi kalori sewajarnya.
Begitu pandangan Ketua Perkhidmatan Pemakanan, Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Ampang Puteri, Jennifer Chiam Chwee Liam mengenai penurunan berat badan dalam kadar segera dengan mengurangkan pengambilan nasi.
Mengenai amalan tidak makan nasi semata-mata untuk menurunkan berat badan, dia mengakui ramai yang melakukan hal sedemikian.
Namun katanya, banyak aspek yang perlu diambil kira sama ada dari segi ketinggian, berat badan dan umur seseorang kerana diet yang betul akan memberikan impak yang lebih baik untuk kesihatan diri.
"Saya mencadangkan seseorang yang ingin mengamalkan cara pemakanan sihat melihat piramid makanan yang sesuai buat mereka.
"Jadikan carta piramid makanan sebagai amalan, sudah tentu ia memberi panduan yang betul dalam membentuk berat badan bersesuaian," katanya.
Menurutnya, seseorang yang ingin berdiet boleh makan nasi tetapi hendaklah mengurangkan kuantitinya. Ia diimbangi dengan pengambilan sayur atau lauk dengan mengurangkan nasi.
"Tidak dinafikan cara makan nasi dalam jumlah yang banyak perlu dielakkan. Namun seimbangkan ia dengan aktiviti tertentu sama ada bersukan atau sesuatu yang boleh membuatkan badan berpeluh.
"Tenaga yang keluar dan masuk diseimbangkan mengikut cara yang betul. Semakin berusia seseorang itu, metabolisma semakin berkurangan. Oleh itu, perlu dicari formula untuk menyeimbangkannya," katanya.
Menurutnya, nasi menghasilkan karbohidrat yang tinggi tetapi tidak salah jika mengambil oat atau roti untuk menggantikan nasi kerana tanpa karbohidrat, ia mungkin boleh melemahkan seseorang.
"Sekiranya terlalu banyak makan telur atau protein berlebihan, ia juga tidak baik untuk kesihatan. Protein atau kolesterol yang terlalu tinggi bagi ahli bina badan memberi kesan kepada buah pinggang.
"Tetapi apa yang terpenting, jika ingin mengurangkan berat badan tanpa makan nasi, ia harus digantikan dengan makanan yang boleh memberikan tenaga," katanya.
Dia turut menyarankan penjagaan kesihatan yang harus bermula sejak kanak-kanak bagi mengelak masalah kanak-kanak mahupun remaja yang memiliki berat badan tidak seimbang.
"Pendidikan kesihatan terbaik adalah ketika masih kanak-kanak. Masalah makanan segera yang senang diperoleh dan menjadi amalan seharian, harus dikurangkan.
"Sekiranya hal itu tidak dicegah, ia memberi kesan tidak baik kepada kesihatan kanak-kanak memandangkan banyak kes obesiti berlaku di kalangan mereka kini.
"Banyak faktor yang dibimbangi apabila badan terlalu gemuk. Ini kerana ia mengundang risiko penyakit darah tinggi, kencing manis atau angin ahmar. Jika ia menyerang di peringkat kanak-kanak atau awal remaja lagi, keadaan sudah terlambat.
"Pemantauan harus dilakukan lebih awal kerana apabila sudah berlaku masalah, ia bukan peringkat pencegahan sebaliknya, proses rawatan yang memerlukan kos lebih banyak atau mengundang risiko lain lagi," katanya.
Tuesday, November 10, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment