Thursday, November 3, 2011

Ternyata dalam setiap pergerakan solat mengandung kebaikan bagi kita semua. Jika anda tidak lupa dengan artikel Satu Platun Askar Korea memeluk Islam kerana mengikuti pergerakan dalam solat. Berikut adalah penjelasannya.
x
x


TAKBIRATUL IHRAM


Berdiri tegak, mengangkat kedua tangan selari dengan telinga, lalu melipatnya di depan perut atau dada bahagian bawah.

Manfaat:

Pergerakan ini melancarkan aliran darah dan kekuatan otot lengan. Posisi jantung di bawah otak memungkinkan darah mengalir lancar ke seluruh tubuh. Semasa mengangkat kedua tangan, otot bahu meregang sehingga aliran darah yang banyak oksigen menjadi lancar. Kemudian kedua tangan didakapkan di depan perut atau dada bahagian bawah. Sikap ini menghindarkan dari pelbagai gangguan persendian, khasnya pada tubuh bahagian atas.

RUKUK


Rukuk yang sempurna ialah tulang belakang yang lurus sehingga bila diletakkan segelas air di atas punggung tersebut tidak akan tumpah. Posisi kepala lurus dengan tulang belakang.

Manfaat:

Gerakan ini menjaga kesempurnaan posisi dan fungsi tulang belakang (corpus vertebrae) sebagai penyangga tubuh dan pusat syaraf. Posisi jantung selari dengan otak, maka aliran darah maksima pada tubuh bahagian tengah. Tangan yang bertumpu di lutut berfungsi meregangkan otot-otot bahu hingga ke bawah. Selain itu, rukuk adalah latihan untuk mencegah gangguan prostat.

IKTIDAL


Bangun dari rukuk, tubuh kembali tegak setelah, mengangkat kedua tangan setinggi telinga.

Manfaat:

Iktidal adalah variasi setelah rukuk dan sebelum sujud. Gerak berdiri bongkok berdiri sujud merupakan latihan pencernaan yang baik. Organ-organ pencernaan di dalam perut mengalami kesempitan dan pelonggaran secara bergilir. Kesannya, pencernaan menjadi lebih lancar.

SUJUD


Meletakkan kedua tangan, lutut, ujung kaki dan dahi pada lantai.

Manfaat:

Aliran darah dipam ke bahagian leher dan ketiak. Posisi jantung di atas otak menyebabkan darah yang banyak oksigen boleh mengalir secara maksima ke otak. Aliran ini berpengaruh pada daya fikir seseorang. Oleh itu,semasa bersujud,jangan tergesa-gesa supaya darah mencukupi kapasitinya di otak. Gerakan ini juga menghindarkan gangguan buasir. Khas kepada wanita, rukuk dan sujud memiliki manfaat luar biasa bagi kesuburan dan kesihatan organ kewanitaan.

DUDUK


Duduk ada dua , iaitu iftirasy (tahiyyat awal) dan tawarruk (tahiyyat akhir). Perbezaan terletak pada posisi tapak kaki.

Manfaat:

Semasa tahiyat awal, kita bertumpu pada pangkal paha yang berhubung dengan syaraf nervus Ischiadius. Posisi ini menghindarkan sakit pada pangkal paha yang sering menyebabkan penderitanya tidak mampu berjalan. Duduk tawarruk sangat baik kepada lelaki kerana tumit menekan aliran pundi air kencing (urethra), kelenjar kelamin lelaki(prostat) dan saluran vas deferens. Jika dilakukan. dengan betul, Posisi ini mencegah mati pucuk. Variasi posisi telapak kaki pada iftirasy dan tawarruk menyebabkan seluruh otot kaki turut meregang dan kemudian relaks kembali. Gerak dan tekanan harmonis inilah yang menjaga kelenturan dan kekuatan organ-organ gerak kita.

SALAM


Pergerakan:
Memutar kepala ke kanan dan ke kiri secara maksima.

Manfaat:

Kelonggaran otot sekitar leher dan kepala menyempurnakan aliran darah di kepala. Pergerakan ini mencegah sakit kepala dan menjaga ketegangan kulit wajah.

Jadi selepas ini, jom kita sempurnakan solat kita jika sebelum ini kita sering melakukan gerakan solat dengan tergesa-gesa. Selain dari untuk mendapatkan khusyuk dalam solat, Insya Allah kita juga akan mendapatkan kesihatan & menambah kecerdasan

Semoga Bermanfaat.

Saturday, August 6, 2011

Amalan Puasa dari sudut kecerdasan Otak


Para penyelidik ilmu perubatan telah membuktikan bahawa puasa dapat membuang toksik / racun dari badan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit. Menurut Dr. Mac Fadon, seorang doktor dari Amerika, “Puasa adalah seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.” Banyak kejayaan beliau mengubati pesakit2nya dengan menganjurkan mereka agar berpuasa sebagai alternatif kepada ubat2 moden. Dan puasa bukan sahaja dapat menjaga kesihatan dan melawan penyakit bahkan dapat juga menajamkan minda kita.



Dalam ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.



Dr. Alan Cott, Seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melaporkan terhadap penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Keputusannya, ternyata menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa.

 Puasa juga insyaAllah dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan Ramadhan” telah diadakan di Casablanca, Morocco pada tahun 1996. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. Kesimpulan kongres itulah yang menekankan 4 fadhilat berpuasa dari sudut kesihatan yang jelas iaitu, menurunkan gula darah, tekanan darah, lipid darah dan berat badan.

Sedangkan dunia perubatan pula telah mengenal pasti pelbagai punca penyakit yang dialami masyarakat dunia masa kini dan antara penyakit yang paling kerap berlaku di dunia masa kini menurut Pertubuhan Kesihatan SeDunia ialah disebabkan sindrom metabolik. Sindrom ini meliputi 4 masalah iaitu: (1) glukos darah tinggi (2) Tekanan darah tinggi (3) Lipid darah tinggi dan (4) lebih berat badan atau obesiti. Dengan hanya meneliti penyakit utama dunia kini dan kesan puasa pada tubuh badan dapatlah kita simpulkan bahawa berpuasa adalah sangat bersesuaian untuk mencegah penyakit sindrom metabolik yang melanda dunia masa kini.

Al-Harits seorang doktor Arab mengatakan :

“Yang banyak membunuh manusia adalah kerana manusia suka memasukkan makanan pada perut sebelum makanan dalam perut dicerna.”

Dr. Alexis Carel seorang doktor antarabangsa dan pernah memperolehi penghargaan nobel dalam bidang kedoktoran telah menyatakan bahawa dengan berpuasa dapat membersihkan pernafasan.

Puasa dapat manambahkan kesegaran dan kesihatan pada tubuh, kerana perut yang sentiasa bekerja memproses makanan juga perlu berhenti bekerja buat sementara waktu. Dan ketika berpuasa itu lah perut kita berehat dan mendapat kesegaran semula untuk bekerja kemudiannya.


Sama juga ibaratnya seperti enjin kereta yang mungkin tidak tahan lama jika dipaksa untuk sentiasa berjalan tanpa henti.Sudah pastinya kereta perlu diservis selalu bagi ianya bisa berjalan lancar dan tanpa gangguan.Begitu jua dengan tubuh manusia yang amat kompleks daripada kereta dimana amat perlu diservis biarpun hanya setahun sekali selama sebulan,malah lebih baik sekiranya diservis setiap bulan dengan berpuasa.Wallah Huaalam.

Wednesday, July 14, 2010

Merangsang Otak anak-anak

NASREEN MA, 32, memegang erat kedua-dua tangan anaknya, Alicia, dengan kedudukan si comel itu bersandar pada tubuhnya sementara kepalanya pula ke bawah. Hujung kedua-dua kaki Alicia terpaut kemas pada bahu ibunya itu. Dalam satu pergerakan pantas, kaki Alicia dilepaskan lalu badan anak kesayangannya itu kembali dalam kedudukan tegak.
Bagaikan baru saja selesai melakukan aksi jungkir balik, Alicia kini membuat lagak 'ngeri' yang seterusnya. Hujung kedua-dua kaki dan tangannya dipegang dengan bantuan seorang ahli terapi. Dalam keadaan tergantung melintang itu, Alicia dihayun dari kiri ke kanan selama dua minit.
Melihat aksi-aksi yang menyerupai latihan gimnastik itu memang cukup menyeramkan. Namun begitu, kanak-kanak yang baru berusia dua tahun itu pula langsung tidak takut atau menangis. Dia sebaliknya gembira dengan aktiviti itu sambil tersenyum dan sesekali ketawa terkekeh-kekeh.
Itu bukan pertama kali dia diajar melakukan pergerakan mencabar seumpama itu. Sejak berusia lapan bulan, Alicia sudah pun diajar oleh Nasreen untuk berbuat demikian.
Menurut Nasreen, semasa berusia lapan bulan Alicia seperti bayi lain yang menunjukkan respons asas seperti menggerak tangan, kaki dan kepala serta peka terhadap bunyi dan warna.

DAYA (kanan) dan Nasreen melakukan pergerakan asas kepada Alicia untuk perkembangan otak.


"Ketika berada dalam fasa meniarap, Alicia semakin menunjukkan tanda-tanda untuk berdiri dan mengatur langkah pertama. Perbuatannya itu amat membimbangkan saya kerana dia langsung tidak cuba untuk merangkak sebelum berjalan.
"Sungguhpun ada ibu bapa yang teruja melihat anak mereka cepat berjalan, tetapi bagi saya ia sesuatu yang luar biasa," ujar Nasreen.
Baginya, lumrah seseorang bayi ialah mereka perlu merangkak sebelum tahu berjalan. Nasreen percaya, jika bukan begitu turutannya perkembangan otak bayi boleh terjejas. Fasa merangkak kata Nasreen, amat penting kerana integrasi asas untuk perkembangan daya penglihatan kedua-dua belah mata sedang berlaku.
Integrasi visual itulah yang akan membantu proses pembacaan, kosentrasi dan tumpuan di dalam bilik darjah.
Menyedari kepentingan proses merangkak itu, ibu muda itu lantas mendapatkan nasihat dan panduan daripada pakar terapi Neuro Network, Daya Bhagwandas, 52.
Pengasas pusat pengajaran pendidikan saraf yang kini berpangkalan di Burwood, Australia itu menyediakan perkhidmatan patologi pertuturan, audiologi dan terapi bunyi. Berpengalaman lebih dua dekad dalam bidang perkembangan otak dan neuron, Daya banyak mengadakan program untuk menyedarkan para ibu bapa tentang potensi kepintaran anak-anak mereka.
Nasreen memberitahu, anak sulungnya itu telah menjalani beberapa sesi latihan pergerakan di bawah penyeliaan Daya. Alicia dibaringkan di atas meja sambil menggerak tangan, kaki serta kepala secara serentak.
Sesi latihan

KANAK-KANAK lain mungkin ngeri dengan aksi sebegini tetapi tidak Alicia.


Terapi yang dikenali sebagai cross pattern itu lama-kelamaan membuatkan Alicia merangkak dengan sendiri. Difahamkan, Alicia telah merangkak selama enam bulan sebelum berjalan.
Tambah Nasreen, kebanyakan ibu bapa terutama yang baru berkahwin kurang peka pergerakan asas seseorang kanak-kanak. Pergerakan asas yang betul amat penting demi mencetuskan kecerdasan anak-anak. Anak-anak sebenarnya pantas memahami dan mempelajari setiap yang diajar oleh ibu bapa mereka.
Penjelasan wanita itu memang benar. Selain membuat aksi pergerakan mencabar pada usia yang terlalu muda, kebolehan anak kecil itu membaca nombor melalui kepingan kad dengan cetakan berbentuk bulat amat mengagumkan.
Menurut Nasreen, berbanding bentuk numerikal, permainan kad dengan cetakan geometri berwarna lebih efektif untuk mengajar anak-anak tentang pengiraan. Ia merangsang visual kanak-kanak dan perkembangan minda terutamanya pada otak bahagian kanan.
Menjelaskan tentang perkembangan otak dan pembelajaran otak kanan, Daya berkata, otak manusia bagaikan satu sistem komputer rumit yang dikawal oleh dua bahagian.
Kedua-dua bahagian itu mempunyai kemahiran dan cara berfikir yang berbeza. Bahagian kanan otak memproses maklumat dengan cepat, melewati ruang dimensi fizikal dan membuat tanggapan tepat. Otak kiri pula memproses dengan cara yang berbeza tetapi dalam bentuk lisan yang lebih kompleks atau berbentuk analisa.
Dominasi otak
"Pada asasnya, manusia berfikir menggunakan keseluruhan otak. Bagaimanapun, satu bahagian daripadanya lebih menguasai atau mendominasi. Semasa berfikir misalnya, otak seumpama bercakap sendiri," katanya.
Jelas Daya, satu bahagian akan lebih mendominasi untuk mengeluarkan kata-kata atau memberi arahan. Bahagian yang mendominasi akan merancang personaliti hidup seseorang manakala bahagian yang sebelah lagi memberi respons terhadap tekanan atau krisis.

ALICIA (kanan) menunjukkan kebolehannya membaca nombor melalui kepingan kad dengan cetakan bulat.


"Amat menguntungkan jika seseorang berusaha untuk mengembangkan kedua-dua bahagian otak kerana ini akan menambahkan lagi maklumat dalam menyelesaikan masalah.
"Jika anda dapat menguasai proses dominasi otak kiri dan memperkembangkan otak kanan pasti boleh menjadi seorang yang lebih kreatif dan bijak," kata wanita yang telah memperkenalkan Neuro Network sejak enam tahun yang lalu di beberapa buah negara luar termasuk Malaysia, Australia, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
Ujar Daya, ketika kecil seseorang amat bergantung kepada fungsi otak kanan yang merangsang imaginasi dan visual. Sebab itu, kanak-kanak cenderung mengaju soalan-soalan yang di luar imaginasi ibu bapa. Mereka juga mampu bercakap seberapa banyak bahasa hanya melalui mendengar percakapan seseorang.
Kesemua itu boleh dilakukan disebabkan fungsi otak kanan. Antaranya memori fotografi, mendengar dan baca dengan pantas, kreativiti, muzik, seni dan kemampuan mempelajari banyak bahasa.
Bagaimanapun, dari alam sekolah sehingga dunia kerjaya, ramai yang hanya menekankan pada kemampuan otak kiri.
"Program pendidikan di Neuro Network menekankan tentang kepentingan melatih otak kanan. Bagaimanapun, perkembangan otak itu perlu diberi perhatian dari peringkat bayi sehingga ia berusia enam tahun.
Apabila proses koordinasi gagal berlaku secara sempurna maka seseorang akan mengalami masalah apabila dewasa. Di sini pergerakan merangkak memainkan peranan penting.
Daya memberi penekanan tentang fasa merangkak: "Jikalau seseorang anak tidak melalui proses merangkak dengan sempurna maka proses koordinasi akan menjadi lemah hingga boleh menimbulkan masalah penglihatan, sentuhan, tumpuan, keseimbangan badan dan pernafasan.
Dalam pada itu, programnya juga turut menekankan tentang proses visual ataupun imaginasi yang terdapat pada otak kanan. Kebolehan visual membantu kanak-kanak mempelajari sesuatu dengan lebih cepat dan gembira. Kemahiran visual yang baik amat penting untuk mempelajari mata pelajaran seperti Matematik, Sastera dan bahasa.

Sumber: Kosmo Online 14/7/2010

Friday, May 28, 2010

Rahsia Anak Pintar Dari Perspektif Islam

BUKAN sedikit ibu bapa yang mengidamkan anak seperti Sufiah Yusof, 24, yang memasuki universiti pada usia 13 tahun dan Adi Putra Abdul Ghani yang mengejutkan ramai pihak kerana kemampuan menyelesaikan masalah matematik. Tidak kurang juga yang mengidamkan anak seperti Muhammad Ahmad Zahid yang bergelar hafiz muda pada usia 13 tahun.
Semua pasti mahukan zuriat yang pintar kerana inilah ‘tiket’ kepada masa depan lebih cerah. Penat lelah membesarkan mereka seakan berbaloi apabila si anak membawa pulang kejayaan. Namun, apakah mereka ini pintar, berbakat, genius atau pun prodigy? Jangan keliru kerana inilah takrifan sebenar keupayaan mereka berdasarkan istilah psikologi.
Seperti kata-kata ‘serupa tapi tak sama,’ pakar linguistik dan Pengasas PTS Publications and Distributors Sdn Bhd, Ainon Mohd, berkata masih ramai yang tidak dapat membezakan istilah sebenar ini.
“Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak”
Fadzilah Kamsah – Pakar motivasi
“Aspek berbakat, pintar dan genius adalah antara perkataan yang kerap digunakan untuk menggambarkan kebolehan seseorang anak kecil mengatasi usia tanpa menyedari ia sebenarnya merujuk kepada makna yang kurang tepat.
“Genius adalah individu normal, tetapi mempunyai kebolehan menyelesaikan masalah teknikal yang sukar atau tidak dapat diselesaikan pakar lain. Contoh paling tepat menggambarkan seseorang yang dianggap genius ialah Albert Einstein dalam bidang sains fizik manakala Thomas Edison dalam bidang elektrik,” katanya yang berkelulusan ijazah sarjana muda linguistik Universiti Malaya dan sarjana dalam bidang sama Leeds University.
Beliau yang pernah mengikuti kursus kedoktoran dalam bidang psikologi, berkata seseorang itu disebut genius apabila dapat menyelesaikan masalah yang tidak mampu diselesaikan mereka yang normal. Justeru Einstein dan Edison layak digelar genius disebabkan mereka berjaya menyelesaikan masalah yang gagal diselesaikan saintis dan jurutera lain.
“Kanak-kanak yang layak digelar genius adalah kanak-kanak dapat menyelesaikan masalah yang gagal diselesaikan orang dewasa. Jika tidak, mereka setakat digelar berbakat atau pintar, bukan genius. Mereka yang dapat menghafal al-Quran pada usia tujuh tahun adalah berbakat, bukan genius.
“Istilah genius tidak boleh digunakan kepada kanak-kanak kerana belum ada kanak-kanak dapat menyelesaikan masalah setaraf orang dewasa. Einstein menyelesaikan masalah teori relativiti pada usia 25 tahun, selepas lulus universiti,” katanya.
Ainon mendakwa, disebabkan genius adalah pakar dalam sesuatu bidang, tiada kanak-kanak genius kerana anak kecil itu tidak mempunyai kepakaran ilmu. Oleh itu, baginya, tiada kanak-kanak genius dalam bidang sains, kejuruteraan, kedoktoran ataupun perfileman atau yang bergelar pakar bedah.
Satu lagi istilah ‘prodigy’ yang merujuk keupayaan kanak-kanak melakukan perkara yang hanya dapat dilakukan orang dewasa.
“Kanak-kanak pada usia lapan tahun yang dapat mengikuti pelajaran matematik peringkat universiti atau mencipta muzik seperti pemuzik dewasa, selayaknya digelar ‘prodigy.’ Mereka ini hanya ada dalam dua bidang iaitu matematik dan muzik. Kanak-kanak prodigiy mempunyai kepintaran orang dewasa dalam bidang matematik ataupun muzik saja. Dalam lain-lain hal, mereka adalah kanak-kanak seperti budak lain,” katanya.
Persoalannya, apakah ada sebarang petua mendapatkan anak pintar ini? Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berkata ini terletak kepada usaha ibu bapa mencari dan memperbaiki kelemahan diri terlebih dulu selain mengamalkan doa dan ajaran berlandaskan al-Quran dan Sunnah.
“Doa adalah senjata umat Islam dan sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan bacaan surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah. Bapa juga perlu mengambil tanggungjawab membaca surah berkenaan dan dihembuskan ke perut isteri.
Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran. Apabila hati terang dan lapang, anak mudah menerima pelajaran. Ibu juga digalakkan membaca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur,” katanya.
Katanya, satu perkara perlu diingati oleh semua ibu bapa iaitu semua anak dilahirkan pintar cuma cara merangsang yang membezakan impaknya. Ini wujud dalam bentuk pakej iaitu mesti membetulkan hati, otak, makanan, persekitaran dan didikan.
Beliau menegur sikap kebanyakan ibu bapa yang tidak mempunyai misi jelas dalam usaha memulakan keluarga.
“Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Bagi tujuan itu, ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak sebagai doktor misalnya. Ibu dan bapa perlulah memupuk minat anak menjadi doktor dengan membaca buku berkaitan perubatan sejak hamil.
“Wanita Yahudi misalnya, mendidik anak sejak dalam kandungan. Sebaik hamil, mereka akan membuat latihan matematik, mendengar muzik dan bermain muzik untuk merangsang perkembangan anak. Ia terbukti berkesan dan jangan hairan jika anak-anak Yahudi dilahirkan bijak. Kita juga boleh berbuat demikian. Malah sebagai orang Islam kita mempunyai 1,001 cara untuk membentuk anak menjadi pintar dan soleh pada masa sama,” katanya.
Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkata, dia sendiri pernah bertemu dengan seorang wanita yang tidak pernah lalai membaca sehingga satu juzuk al-Quran setiap hari sepanjang hamil.
“Jika dia keletihan, suaminya akan menyambung membaca dan pahala dihadiahkan kepada bayi dalam kandungan. Anak itu dilahirkan dan membesar menjadi seorang lelaki yang bijak, pintar dan tinggi akhlaknya. Ini bukti betapa ayat Quran dan doa cukup berkesan dalam usaha membentuk anak pintar. Jika tidak berkesempatan mendidik anak dari dalam perut, belum terlambat untuk berbuat demikian walaupun mereka sudah menjejak alam persekolahan,” katanya.
Malah, baginya, antara saat paling mustajab mendidik anak ialah ‘hypnagogic moment’ iaitu masa antara anak berada dalam keadaan antara sedar dan tidak ketika hendak tidur.
“Ketika itu, mereka seolah-olah terpukau dan apa saja yang disebutkan ketika itu akan meresap masuk ke dalam hati. Rebut peluang untuk membisikkan kata-kata nasihat, pujian dan pesanan ketika mereka dalam keadaan itu dan Insya-Allah anak-anak akan menurut apa yang dikatakan.
“Waktu lain yang turut memberi impak besar kepada usaha ibu bapa memberi didikan ialah sebelum anak-anak tidur, sedang tidur dan baru bangun tidur. Ambil masa seminit, dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat,” katanya.
Beliau turut menegur tindakan ibu bapa yang selalu terlanjur mengeluarkan perkataan negatif ketika marah.
“Kata-kata itu satu doa. Anak boleh dimarah dan kena dimarah tetapi biarlah marah itu berunsurkan positif. Jangan sesekali keluarkan perkataan degil, keras kepala kepada anak. Sebaliknya jika mereka melakukan sesuatu kesilapan, katakan kepada mereka: “Kamu anak baik. Kamu anak bijak. Mengapa lakukan perkara itu,” katanya.
‘Formula Adi Putra berasaskan kiraan Islam’
IMPIAN untuk bertentang mata dengan Adi Putra Abdul Ghani, 11, tidak kesampaian kerana dia berada di kampung neneknya yang baru meninggal dunia. Namun peluang bertemu ayahnya memberi kesempatan mengenali siapa sebenarnya Adi Putra yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dan sehingga kini sudah mencipta 228 formula menyelesaikan masalah matematik.
Kisah kepintaran Adi Putra menyelesaikan masalah matematik sudah terlalu banyak diperkatakan tetapi kali ini penulis dihidangkan dengan sisi lain budak cerdik itu.
Menerusi paparan cakera padat, Adi Putra hanya menonjol dalam matematik tetapi pelbagai bidang lain yang melampaui usia sebenarnya.
“Ia satu anugerah Allah yang wajar kita syukuri. Ia juga satu bukti kehebatan Allah yang mampu memilih sesiapa saja untuk diberikan keistimewaan biarpun makhluk itu semuda Adi Putra,” kata Abdul Ghani ketika ditemui baru-baru ini.
Menariknya mengenai Adi Putra ialah semua formula matematiknya berasaskan cara kiraan Islam 100 peratus dan cara penyelesaiannya berdasarkan cakerawala, peredaran bulan, matahari, bumi serta menggunakan semua ciptaan Allah SWT di muka bumi ini seperti bukit dan tidak ketinggalan mengguna pakai perkiraan orang dulu.
Abdul Ghani mendakwa, kaedah pengiraan itu diiktiraf pakar antarabangsa malah di luar negara satu formula Adi Putra dinilai bersamaan RM1 juta dan modul sifir yang dihasilkannya bernilai berbilion ringgit.
“Jangan anggap Adi Putra budak kecil kerana selain pintar dalam matematik, dia juga mampu mengajar, petah berbicara walaupun ketika ditemubual stesen televisyen antarabangsa malah tidak kekok bersama dengan pembesar negara,” katanya.
Katanya, anaknya itu juga diiktiraf memiliki pengetahuan ilmu matematik berusia 400 hingga 500 tahun dulu yang pernah dikuasai ilmuwan Islam. Adi Putra bukan hanya menguasai formula matematik sebaliknya mengkaji setiap nombor.
“Kita dianugerahkan jari dan pelbagai bentuk bantuan semula jadi untuk mengira. Adi Putra juga menggariskan tiga perkara yang merosakkan dan melemahkan minda umat Islam iaitu terciptanya kalkulator, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan permainan video.
“Matematik dan sains tidak dimonopoli sesuatu bangsa sebaliknya terpulang kepada kita untuk menguasainya. Ilmuwan Islam terdahulu sudah membuktikan betapa kita sebenarnya menguasai matematik, bukan orang lain.
“Apa yang penting ialah bukan sekadar anak kita bijak tetapi juga kreatif. Adi Putra mengajar budak lain untuk turut kreatif mencari penyelesaian kepada masalah matematik dengan tempoh paling cepat,” katanya.
Malah, kata Abdul Ghani, salah seorang pelajarnya cuma mendapat satu markah daripada 50 soalan matematik dan selepas mengikuti kelas Adi Putra, dia mampu memperoleh 100 peratus selepas dua hari.
INFO: Tip untuk ibu bapa
  • Sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan baca surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah.
  • Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran.
  • Selepas bersalin, baca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur.
  • Waktu ketika anak antara sedar dan tidak. Rebut peluang bisikkan kata-kata nasihat, pujian dan pesanan. Ambil masa seminit, dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat.
  • Doakan kejayaan anak, rakan anak mereka, anak rakan dan jiran.
FAKTA: Rahsia pemakanan ilmuwan Islam
  1. Madu – Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktiraf ia ‘shifa’ iaitu penyembuh penyakit. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan kerja otak seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat. Ia perlu diambil dua sudu teh (gunakan sudu plastik) pada waktu pagi dan malam.
  2. Kismis – Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Adab memakannya ialah dengan mengadap Kiblat, membaca Bismillah dan selawat tiga kali diikuti doa penerang hati. Ia perlu dimakan seperti memakan gula-gula kerana dikatakan tidak berkesan jika dikunyah dan diambil satu persatu sebanyak 21 biji setiap hari.
  3. Susu segar – Susu berguna untuk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. Susu mengandungi tiga unsur semula jadi iaitu keju, lemak dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri – biri dan lembu yang segar. Ia diminum segelas pada sebelah pagi dan malam.
  4. Telur – Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya. Ahli – ahli kesihatan mengakui ia adalah makanan yang lengkap dan berkhasiat. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru.
  5. Halia – Ia sangat mujarab untuk menghindar masalah lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa. Halwa ialah halia yang dijadikan Dimakan sedikit saja pada waktu pagi.
  6. Buah Delima – Mujarab untuk penerang hati seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”